Apakah cara hilangkan stretch mark yang boleh anda cuba sendiri khususnya kepada wanita selepas bersalin?
Stretch mark atau tanda regangan kulit sering menjadi masalah yang merisaukan ramai, terutamanya dalam kalangan wanita. Garisan halus ini mungkin tidak menyakitkan, namun ia boleh menjejaskan keyakinan diri dan penampilan kulit secara keseluruhan.
Dalam artikel ini, kami kongsikan 10 cara hilangkan stretch mark dengan berkesan, lengkap dengan penjelasan dan manfaat setiap kaedah, supaya anda boleh memilih rawatan yang paling sesuai untuk jenis kulit dan gaya hidup anda.
Baca juga: 10 Krim Hilangkan Parut Terbaik Di Farmasi Yang Berkesan
Apa itu Stretch Mark?

Stretch mark, atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai tanda regangan kulit, ialah garisan atau jalur yang muncul pada permukaan kulit apabila kulit meregang secara mendadak.
Ia biasanya berlaku apabila kulit tidak sempat menyesuaikan diri dengan pertambahan saiz badan, contohnya semasa kehamilan, kenaikan berat badan yang cepat, atau pertumbuhan mendadak remaja (growth spurt).
Bagaimana Stretch Mark Terjadi?
Kulit manusia terdiri daripada tiga lapisan utama iaitu epidermis (lapisan luar), dermis (lapisan tengah), dan hipodermis (lapisan bawah lemak).
Stretch mark berlaku apabila lapisan dermis terkoyak akibat tekanan regangan yang melebihi keanjalan kulit. Kerosakan ini menyebabkan tisu bawahnya kelihatan, lalu muncul garis-garis pada kulit yang mulanya berwarna merah jambu, ungu, atau coklat, dan lama-kelamaan menjadi putih atau keperakan.
Siapa yang Ada Stretch Mark?

Stretch mark boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, namun terdapat kumpulan tertentu yang lebih berisiko untuk mengalaminya berbanding orang lain. Ini berlaku kerana kombinasi faktor genetik, hormon, serta perubahan fizikal yang mendadak dalam badan.
Antara individu yang berisiko untuk dapat stretch mark adalah seperti berikut:
1. Faktor Genetik (Keturunan)
Genetik merupakan penentu utama dalam risiko seseorang untuk mendapat stretch mark. Jika ahli keluarga terdekat seperti ibu, kakak atau adik mempunyai tanda regangan, kemungkinan besar anda juga akan mengalaminya. Ini kerana struktur dan keanjalan kulit banyak dipengarujhi oleh warisan genetik.
2. Wanita Hamil
Kehamilan adalah penyebab paling biasa stretch mark. Kajian yang diterbitkan pada tahun 2015 oleh National Center for Biotechnology Information mendapati bahawa, 90% wanita hamil mengalami stretch mark, terutama pada trimester kedua dan ketiga apabila perut membesar dengan cepat untuk menampung pertumbuhan bayi.
Kawasan biasa termasuk perut, payudara, peha dan punggung. Perubahan hormon semasa hamil juga menjadikan kulit lebih mudah koyak apabila diregang.
3. Penggunaan Ubat Kortikosteroid
Orang yang menggunakan ubat kortikosteroid, sama ada dalam bentuk krim, pil atau suntikan (seperti prednisolone), berisiko lebih tinggi kerana ubat ini boleh melemahkan struktur kolagen kulit.
Kolagen adalah protein penting yang membantu kulit kekal anjal dan kuat. Bila kolagen berkurangan, kulit menjadi lebih mudah koyak semasa regangan.
4. Turun Naik Berat Badan Yang Drastik
Stretch mark juga biasa berlaku pada individu yang mengalami pertambahan atau penurunan berat badan secara mendadak.
Bila kulit diregang dengan cepat tanpa masa untuk menyesuaikan diri, ia akan koyak dan menyebabkan tanda regangan terbentuk. Hal ini sering berlaku dalam proses diet ekstrem atau selepas pembedahan bariatrik.
5. Pembesaran Otot Secara Cepat
Atlet bina badan atau individu yang melakukan latihan bebanan berat dalam tempoh singkat boleh mendapat stretch mark, terutamanya di bahu, dada, lengan dan paha kerana otot berkembang lebih pantas daripada kemampuan kulit untuk menyesuaikan diri.
6. Pembedahan Pembesaran Payudara
Stretch mark juga boleh muncul selepas prosedur pembesaran payudara, terutamanya jika implan yang digunakan lebih besar daripada saiz asal.
Kulit payudara yang diregangkan secara mendadak boleh menyebabkan serat dermis koyak, menghasilkan garisan stretch mark yang ketara.
7. Remaja Dalam Fasa Pertumbuhan (Growth Spurt)
Remaja lelaki dan perempuan yang mengalami pertumbuhan fizikal yang cepat semasa akil baligh juga berisiko.
Mereka mungkin melihat stretch mark di belakang badan, paha, pinggang atau lengan, kesan daripada pertumbuhan ketinggian dan saiz tubuh yang pesat.
Baca juga: Mengandung Tapi Period, Kehamilan “Ajaib” atau Semula Jadi?
Cara Hilangkan Stretch Mark
Terdapat pelbagai cara hilangkan stretch mark yang boleh anda lakukan. Antara caranya adalah seperti berikut:
1. Rawatan Laser

Rawatan laser adalah antara cara hilangkan stretch mark yang paling berkesan dan moden. Ia berfungsi dengan menghantar cahaya tenaga tinggi ke dalam lapisan tengah kulit (dermis) untuk merangsang penghasilan kolagen dan elastin, iaitu komponen penting yang membantu membaiki kulit yang koyak akibat regangan.
Dengan kolagen baru yang terbentuk, kulit akan kelihatan lebih licin, anjal, dan tona stretch mark akan semakin sekata dengan kulit sekeliling. Walaupun rawatan ini tidak menjanjikan hilang 100%, ia mampu memudarkan stretch mark secara ketara.
Terdapat beberapa jenis rawatan laser yang biasa digunakan untuk stretch mark, bergantung kepada jenis dan umur stretch mark itu sendiri:
- Laser Fractional (CO2 atau Erbium) – sesuai untuk stretch mark lama dan dalam; ia menghasilkan ‘lubang mikro’ untuk memulakan proses penyembuhan kulit dari dalam.
- Pulsed Dye Laser (PDL) – paling berkesan untuk stretch mark baru (warna merah atau ungu) kerana ia menyasarkan salur darah untuk mengurangkan kemerahan dan radang.
- Excimer Laser – digunakan untuk mengembalikan warna kulit stretch mark agar lebih sekata dengan kulit normal melalui rangsangan melanin.
Biasanya, seseorang perlu menjalani 3 hingga 6 sesi rawatan, bergantung kepada saiz kawasan, tahap stretch mark, jenis kulit dan tindak balas terhadap rawatan. Sesi rawatan dilakukan setiap 4 hingga 6 minggu, membolehkan kulit sembuh secara semula jadi antara sesi.
Dari segi kos, rawatan laser untuk stretch mark di Malaysia boleh mencecah antara RM300 hingga RM1,500 bagi setiap sesi, bergantung pada jenis laser dan klinik yang dipilih. Walaupun harganya agak mahal, ramai memilih rawatan ini kerana hasilnya lebih cepat dan nyata berbanding produk sapuan biasa.
Namun begitu, rawatan ini juga mempunyai kesan sampingan ringan yang mungkin berlaku, seperti kemerahan, bengkak ringan, atau kulit mengelupas selepas rawatan. Individu berkulit gelap mungkin berisiko mengalami perubahan warna kulit (hiperpigmentasi atau hipopigmentasi) selepas prosedur.
Oleh itu, rawatan ini wajib dilakukan oleh pakar dermatologi atau doktor bertauliah bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan.
2. Menyapu Krim atau Losyen Topikal
Penggunaan krim atau losyen topikal yang konsisten juga berkesan sebagai cara hilangkan stretch mark. Kaedah ini sesuai untuk mereka yang inginkan penjagaan harian dari rumah, tanpa perlu menjalani prosedur klinikal seperti rawatan laser.
Walaupun krim topikal mungkin mengambil masa lebih lama untuk menunjukkan kesan, ia tetap berkesan untuk melembapkan kulit, memperbaiki keanjalan, dan membantu memudarkan garis-haris regangan terutamanya jika stretch mark masih baru atau belum terlalu dalam.
Krim topikal bertindak dengan menyerap ke dalam lapisan kulit dan merangsang penghasilan kolagen serta memperbaiki struktur kulit yang telah koyak akibat regangan. Antara bahan aktif dalam krim tersebut yang boleh membantu anda adalah seperti:
- Retinol (Vitamin A) – Membantu merangsang pertumbuhan sel kulit baru dan memperbaiki tekstur kulit. Berkesan untuk stretch mark lama, namun tidak disyorkan untuk ibu hamil atau menyusu.
- Hyaluronic Acid – Memberi kelembapan mendalam pada kulit dan membantu mengurangkan penampilan garis regangan. Sesuai untuk semua jenis kulit dan selamat digunakan semasa mengandung.
- Vitamin E – Bertindak sebagai antioksidan semula jadi untuk membaiki kulit yang rosak dan mengekalkan kelembapan kulit.
- Centella Asiatica (Daun Pegaga) – Ramuan herba yang terkenal untuk meningkatkan kolagen dan menjadikan kulit lebih anjal. Sesuai untuk kulit sensitif.
- Cocoa Butter dan Shea Butter – Emolien semula jadi yang melembapkan dan melegakan kulit regang. Sangat sesuai digunakan oleh ibu hamil untuk mencegah stretch mark sejak awal kehamilan.
- Peptides dan Ceramides – Memperkuat lapisan pelindung kulit dan membantu pembentukan kulit baru yang sihat.
Dari segi cara penggunaan, krim ini hendaklah disapu dua kali sehari pada waktu pagi dan malam untuk hasil yang maksimum. Ia paling berkesan disapus elepas mandi, apabila kulit masih sedikit lembap dan bersih, bagi memastikan penyerapan krim lebih efisien.
3. Exfoliation

Exfoliation bertujuan membuang sel-sel kulit mati di lapisan atas kulit (epidermis) dan merangsang pertumbuhan kulit baru yang lebih sihat. Apabila kulti mati disingkirkan secara konsisten, permukaan kulit akan menjadi lebih halus, dan stretch mark akan kelihatan semakin pudar dari semasa ke semasa.
Walaupun ia mungkin tidak menghapuskan stretch mark sepenuhnya, teknik ini sangat membantu dalam mempercepatkan penyerapan produk penjagaan kulit lain seperti krim atau minyak stretch mark.
Proses exfoliation boleh dilakukan secara fizikal menggunakan scrub badan yang mengandungi biji halus seperti garam laut, gula, atau bijian kopi. Anda juga boleh memilih exfoliator kimia ringan yang mengandungi AHA (alpha hydroxy acid) atau BHA (beta hydroxy acid) yang lebih sesuai untuk kulit sensitif.
Sapukan scrub pada kawasan stretch mark seperti perut, paha atau punggung, dan urut secara perlahan dalam gerakan membulat selama beberapa minit sebelum dibilas.
Untuk hasil yang berkesan, exfoliation boleh dilakukan 2 hingga 3 kali seminggu, tetapi elakkan pengelupasan berlebihan yang boleh mengeringkan atau merengsakan kulit.
4. Sapu Minyak Zaitun
Minyak zaitun kaya dengan vitamin E, antioksidan, serta asid lemak sihat yang dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit, meningkatkan keanjalan, dan mempercepatkan pemuliham tisu kulit yang rosak akibat regangan.
Selain itu, minyak zaitun juga mempunyai sifat anti-radang semula jadi yang membantu menenangkan kulit yang tegang atau gatal ketika stretch mark mula terbentuk.
Cara penggunaannya cukup mudah. Anda hanya perlu mengambil sedikit minyak zaitun extra virgin dan sapu secara perlahan ke kawasan seperti perut, paha, lengan atau punggung.
Urut dengan gerakan membulat selama beberapa minit agar minyak meresap dengan lebih baik ke dalam kulit. Untuk hasil terbaik, sapuan ini boleh dilakukan dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan sebelum tidur.
5. Sapu Gel Aloe vera

Aloe vera, atau lidah buaya, terkenal sebagai bahan semula jadi yang kaya dengan vitamin C, E, enzim dan antioksidan yang sangat baik untuk menyembuhkan kulit dan meningkatkan keanjalan.
Ia juga mempunyai sifat menyejukkan, melembapkan dan memperbaharui sel kulit, menjadikannya pilihan yang ideal untuk membantu memudarkan stretch mark secara lembut dan selamat.
Cara penggunaannya juga sangat mudah. Ambil gel aloe vera asli sama ada terus dari daun aloe vera segar ataupun gel aloe vera yang siap diproses (pastikan bebas alkohol dan bahan kimia tambahan).
Sapu gel tersebut ke kawasan stretch mark seperti perut, paha, pinggul atau lengan, dan urut secara perlahan dalam gerakan membulat. Biarkan gel meresap ke dalam kulit selama sekurang-kurangnya 20 minit sebelum dibilas, atau boleh juga dibiarkan semalaman untuk kesan yang lebih mendalam.
6. Sapu Minyak Vitamin E
Vitamin E merupakan sejenis antioksidan kuat yang membantu melindungi dan memperbaiki sel kulit yang rosak akibat regagan melampau. Ia juga berperanan dalam meningkatkan penghasilan kolagen, memperbaiki tekstur kulit, serta menjadikan kulit kelihatan lebih anjal dan sekata.
Oleh sebab itu, minyak vitamin E sering dijadikan bahan utama dalam produk penjagaan kulit termasuk krim anti-stretch mark.
Untuk menggunakan minyak vitamin E, anda boleh memilih minyak yang dijual dalam bentuk kapsul lembut (softgel) atau dalam botol sebagai minyak sapuan. Jika menggunakan kapsul, cucuk dan keluarkan minyak di dalamnya, kemudian sapu terus ke stretch mark.
Urut kawasan tersebut secara lembut dengan gerakan membulat selama beberapa minit agar minyak menyerap dengan baik ke dalam kulit. Lakukan sapuan ini setiap hari, terutamanya selepas mandi ketika kulit masih lembap, kerana ini membantu penyerapan yang lebih efektif.
7. Campuran Madu dan Garam

Madu mengandungi sifat antibakteria, antioksidan, dan pelembap semula jadi yang membantu mempercepatkan penyembuhan sel kulit, melembapkan kawasan kering serta memperbaiki tekstur kulit.
Sementara itu, garam bertindak sebagai bahan pengelupas ringan (exfoliator) yang mampu membuang sel-sel kulit mati dan merangsang pertumbuhan kulit baru yang lebih sihat dan licin.
Untuk menyediakan ramuan ini, campurkan 1 sudu makan madu asli dengan 1 sudu teh garam halus sehingga membentuk pes yang sebati. Sapukan campuran ini pada kawasan stretch mark, contohnya di perut, paha atau punggung, kemudian urut dengan lembut selama 2–3 minit menggunakan gerakan membulat.
Biarkan ia meresap selama 15–20 minit, kemudian bilas dengan air suam. Untuk hasil yang berkesan, amalkan sapuan ini 2 hingga 3 kali seminggu, dan pastikan kulit tidak mengalami iritasi selepas rawatan.
8. Bersenam dan Banyak Minum Air Kosong

Dengan bersenam secara konsisten, aliran darah dalam tubuh menjadi lebih lancar, sekaligus meningkatkan bekalan oksigen dan nutrien ke kulit. Ini membantu kulit memperbaharui sel-sel yang rosak dan merangsang penghasilan kolagen serta elastin yang sangat penting untuk menyokong struktur kulit.
Senaman seperti yoga, stretching, berjalan kaki, berenang, atau latihan kekuatan ringan sangat baik untuk mengencangkan otot dan kulit, terutama pada kawasan yang terdedah kepada stretch mark seperti perut, paha dan punggung. Bagi wanita selepas bersalin, senaman juga membantu mengembalikan bentuk badan sambil memperbaiki tekstur kulit secara semula jadi.
Sementara itu, pengambilan air kosong yang mencukupi pula memainkan perenan penting dalam memastikan kulit sentiasa terhidrat. Kulit yang cukup air akan menjadi lebih lembut, anjal, dan kurang berisiko untuk koyak atau retak semasa mengalami regangan.
9. Microneedling
Microneedling menggunakan alat khas yang mempunyai jarum halus yang sangat kecil untuk membuat luka-luka mikro pada permukaan kulit. Luka mikro ini akan merangsang proses penyembuhan semula jadi badan, termasuk penghasilan kolagen dan elastin, dua elemen penting dalam memperbaiki struktur kulit yang rosak akibat regangan berlebihan.
Dengan penghasilan kolagen yang meningkat, kulit akan menjadi lebih tegang, licin, dan stretch mark akan beransur pudar.
Rawatan ini sangat berkesan untuk stretch mark yang sudah lama dan juga yang berwarna putih keperakan, yang biasanya sukar dirawat hanya dengan krim topikal.
Microneedling juga mampu meningkatkan penyerapan produk penjagaan kulit selepas rawatan, kerana saluran mikro yang terbentuk membantu bahan aktif seperti vitamin C dan retinol meresap lebih jauh ke dalam kulit.
10. Makan Makanan Seimbang

Mengamalkan pemakanan seimbang membantu menghilangkan stretch mark secara semula jadi dari dalam.
Walaupun kaedah ini tidak memberikan hasil serta-merta seperti rawatan sapuan atau laser, ia memainkan peranan besar dalam meningkatkan kesihatan kulit secara keseluruhan, menjadikan kulit lebih kuat, anjal dan mampu pulih lebih cepat daripada kerosakan seperti stretch mark.
Kulit yang sihat bermula dari apa yang kita makan, dan dengan pengambilan nutrien yang mencukupi, tubuh dapat menghasilkan kolagen serta memperbaharui sel kulit dengan lebih efisien.
Untuk menyokong pemulihan stretch mark, berikut antara nutrien penting yang perlu dimasukkan dalam diet harian:
- Vitamin C – Membantu penghasilan kolagen dan mempercepatkan penyembuhan tisu kulit. Sumber terbaik termasuklah buah sitrus (oren, lemon), strawberi, jambu batu dan brokoli.
- Vitamin E – Bertindak sebagai antioksidan untuk melindungai dan membaiki sel kulit. Didapati dalam kekacang, biji bunga batahari, bayam, dan avokado.
- Zink – Merangsang pembaikan tisu dan mengurangkan keradangan kulit. Boleh diperoleh daripada makanan laut seperti tiram, daging merah, dan kekacang.
- Protein – Komponen utama dalam pembentukan sel kulit dan kolagen. Sumber protein berkualiti termasuk ikan, ayam, telur, kekacang dan produk tenusu.
- Lemak sihat (Omega-3) – Menjaga kelembapan kulit dan meningkatkan keanjalan. Terdapat dalam ikan berlemak seperti salmon, chia seed, flaxseed dan walnut.
Kesimpulan
Kesimpulannya, stretch mark bukan hanya masalah wanita atau ibu hamil sahaja. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sama ada lelaki atau pun perempuan. Ia bergantung pada gaya hidup, hormon, genetik, dan perubahan fizikal.
Kalau anda tergolong dalam kumpulan berisiko ini, cara hilangkan stretch mark yang kami kongsikan tadi mungkin boleh membantu anda mengurangkan kesan parut tersebut.
Rujukan:
- Stretch Marks: Why They Appear and How To Get Rid of Them. American Academy of Dermatology Association
- How Do I Get Rid of Stretch Marks? Medical News Today
- Everything You Need to Know About Stretch Marks. Healthline