invisible hit counter 10+ Muzium dan Galeri di KL 2025 – Weekend Getaway! – Jomer zing

10+ Muzium dan Galeri di KL 2025 – Weekend Getaway!

10+ Muzium dan Galeri di KL 2025 – Weekend Getaway!

Kalau anda tengah cari tempat menarik di KL untuk bawa anak-anak, apa kata cuba bawa mereka ke muzium atau galeri? Sambil berseronok, boleh tambah ilmu!

Muzium dan galeri di KL ni pun menarik juga untuk pergi bersama pasangan. Tak semestinya kena pergi kafe hipster atau shopping je kan. 

Ada banyak muzium dan galeri di KL ini dengan tarikannya yang tersendiri. Ada yang percuma, ada juga yang berbayar. 

Jom tengok senarai 10+ muzium & galeri di KL yang anda boleh kunjungi. Mana tahu, mungkin ini akan jadi port kegemaran baru anda!

BACA JUGA: 15+ Restoran Chinese Muslim KL & Selangor

10+ Muzium dan Galeri di KL 2025

1. Muzium Negara

Alamat: Department of Museum, Jln Damansara, Perdana Botanical Gardens, 50566 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur, Malaysia.

Tiket Masuk: RM2/orang (warganegara),  RM5/orang (bukan warganegara)

Muzium Negara adalah antara muzium di Kuala Lumpur yang anda mesti pergi. Muzium ini ‘mempersembahkan’ sejarah Malaysia dengan kreatif dan sangat menarik dalam empat bahagian.

Tiket masuk pun murah dan berpatutan, hanya RM2/orang sahaja untuk warganegara dan RM5/orang sahaja untuk bukan warganegara. Pastikan bawa duit kecil okay. Nak datang sini pun mudah sebab ia bersambung dengan laluan MRT Sungai-Buloh. 

2. Muzium Kesenian Islam Malaysia

Alamat: Islamic Arts Museum Malaysia, Jalan Lembah, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia. 

Tiket Masuk:

  • Dewasa (warganegara & pelancong asing): RM20
  • Kanak-kanak (warganegara & pelancong asing): RM10
  • Warga emas & pelajar: RM10
  • Kanak-kanak bawah 6 tahun: Percuma

Muzium Kesenian Islam Malaysia memang antara tempat yang sangat berbaloi untuk dilawati. Tak kiralah anda Muslim atau bukan.

Dii sini terdapat ribuan koleksi artifak yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya Islam terutamanya dari rantau Asia Tenggara. 

Suasana dalam muzium sangat tenang dan selesa, sesuai untuk anda yang suka tempat yang mendamaikan. Lokasinya pun strategik, dekat je dengan Masjid Negara dan Stesen Keretapi Lama Kuala Lumpur. 

Tiket masuk boleh dibeli secara walk-in di kaunter tanpa perlu tempahan awal. Muzium ini dibuka setiap hari dari jam 9:30 pagi hingga 5:00 petang. 

Ada juga tempat letak kereta disediakan secara percuma di kawasan muzium dan terdapat juga kemudahan seperti kafe, perpustakaan, serta kedai cenderamata untuk pengunjung. 

Alamat: Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, 2, Jalan Temerloh, off, Jln Tun Razak, 53200 Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: Percuma

Galeri Seni Negara juga dikenali sebagai Balai Seni Visual Negara. Ia terletak bersebelahan dengan Istana Budaya dan Taman Tasik Titiwangsa. Galeri ini menjadi pusat koleksi, pameran dan pengembangan seni visual negara.

Galeri Seni Negara mempunyai koleksi lebih 8,000 karya seni dari pelukis tempatan dan serantau. Dengan tema pameran yang sentiasa berubah dan interaktf, galeri ini  sangat seronok untuk diterokai. 

Alamat: Sasana Kijang, 2, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: Percuma

Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia sebenarnya salah satu muzium paling moden dan informatif di Kuala Lumpur. Lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuklah kafe.

Kalau anda jenis yang suka tempat cantik, sejuk (aircond dia best!) dan penuh info menarik, tempat ni wajib masuk dalam senarai.

Terletak dalam bangunan Sasana Kijang yang serba canggih, muzium ini merangkumi beberapa galeri berbeza. Jadi kalau anda bawa anak-anak, pasangan, atau nak solo trip pun, memang sesuai.

Pameran dalam setiap galeri direka dengan interaktif dan visual yang menarik. Memang tak bosan langsung! 

5. UR-MU (Urban Museum)

Alamat: 3, Jalan Bedara, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: RM20

Kalau anda sedang cari muzium atau galeri seni yang moden, edgy dan instagramable di Kuala Lumpur,  Urban Museum Kuala Lumpur wajib ada dalam senarai anda!

Dengan susun atur dalamannya yang sangat ‘aesthetic’, muzium ini menampilkan seni kontemporari tempatan dan antarabangsa. Ada instalasi berskala besar, lukisan berkonsep kritikal, video art serta pelbagai medium seni lain.

UR-MU juga aktif dengan pelbagai program seni, bengkel dan acara komuniti. Jadi kalau anda bernasib baik, mungkin boleh sertai sesi-sesi eksklusif yang mereka anjurkan.

6. Muzium Telekom

Alamat: Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: RM5 (warganegara), RM10 (bukan warganegara)

Muzium Telekom yang terletak tengah-tengah Kuala Lumpur memang unik dan wajib singgah, terutamanya kalau anda suka sejarah dan teknologi. 

Bangunan bersejarah yang siap dibina pada tahun 1928 ini dahulunya pusat pertukaran telefon, tapi sekarang dah diubah jadi muzium yang penuh dengan koleksi menarik. 

Setiap sudut muzium ni ada info dan artifak yang bawa kita mengimbas perubahan dunia komunikasi dari zaman dulu sampai sekarang. Suasana dalam muzium pun selesa, berhawa dingin dan ada ruang santai kalau nak berehat sekejap.

Selain pameran tetap, Muzium Telekom juga ada galeri interaktif dan program pendidikan yang sesuai untuk semua peringkat umur. 

Lokasinya sangat strategik, dekat dengan stesen LRT Masjid Jamek dan mudah diakses kalau anda jalan kaki sekitar pusat bandar. 

7. Muzium Tekstil Negara

Alamat: 26, Jalan Sultan Hishamuddin, City Centre, 50000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: RM2 untuk warganegara

Muzium Tekstil Negara terletak berdekatan Dataran Merdeka. Muzium ini dibahagikan kepada empat dewan pameran utama yang memfokuskan kepada pelbagai kumpulan etnik termasuk Melayu, Cina, India dan etnik lain di Malaysia.

Di muzium ini anda juga boleh melihat dengan lebih dekat proses pembuatan tekstil melalui bahan pameran yang interaktif dan informatif.

Salah satu tarikan menarik di sini ialah aktiviti interaktif seperti mewarna dan mereka corak batik. Pengalaman hands-on yang menyeronokkan ini sangat sesuai untuk semua peringkat umur.

8. Muzium Polis Diraja Malaysia

Alamat: 5, Jalan Perdana, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: Percuma

Kalau anda seorang yang minat sejarah atau ingin memahami lebih dekat peranan pasukan keselamatan negara, 

Muzium PDRM juga salah satu muzium di KL yang anda boleh lawati secara percuma. Muzium ini menampilkan perjalanan sejarah pasukan Polis Diraja Malaysia dari era penjajahan hingga ke zaman moden.

Apa yang menjadikan muzium ini benar-benar menarik ialah koleksi pamerannya yang autentik. Bukan sekadar replika biasa, tetapi banyak barangan asal yang digunakan oleh pasukan polis dahulu kala turut dipamerkan.

Ada kenderaan lama, uniform bersejarah, senjata, dokumen penting dan pelbagai lagi artifak menarik yang menjadikan pengalaman lawatan terasa lebih ‘real’ dan penuh nilai.

9. Muzium Etnologi Dunia Melayu

Alamat: Jln Damansara, Tasik Perdana, 50566 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: RM5 (warganegara)

Muzium Etnologi Dunia Melayu memberi tumpuan khas kepada aspek etnografi budaya Melayu. 

Di sini, para pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai artifak unik seperti keris, wau, congkak, pakaian tradisional, serta seni ukiran kayu yang halus.

Bagi pelawat luar negara, ini mungkin satu pendedahan baharu yang mempesonakan. Namun, untuk rakyat tempatan, sesetengah pameran mungkin terasa agak biasa kerana sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

Tapi jangan risau, di sini anda juga melihat persembahan wayang kulit dan mencuba beberapa permainan interaktif. 

10. Muzium Seni Asia (Museum of Asian Art UM)

Alamat: Jalan Ilmu, 50603 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: Percuma

Muzium Seni Asia ini terletak di Universiti Malaya. Ia merupakan salah satu muzium yang agak underrated tetapi sangat berbaloi untuk dilawati, terutamanya jika anda peminat sejarah dan seni klasik dari Asia. 

Walaupun bersaiz kecil, muzium ini menyimpan koleksi artifak yang menarik. Antaranya tembikar purba, ukiran halus, serta hasil seni dari pelbagai tamadun di Asia termasuk China, India dan Asia Tenggara.

Anda boleh habiskan sekitar 30 hingga 45 minit di sini. Jadi, kalau anda berada di kawasan Petaling Jaya atau sekitar Universiti Malaya, muzium ini kena ada dalam itinerari anda!

11. Galeri ILHAM

Alamat: Levels 3 and 5, Ilham Tower, 8, Lrg Binjai, Kuala Lumpur, 50450 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: Percuma

Galeri ILHAM merupakan salah satu ruang seni kontemporari paling menarik di Kuala Lumpur. Galeri ini menampilkan karya seni moden daripada Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara. 

Anda boleh melihat pelbagai bentuk karya menarik di galeri ini  daripada seni visual, fotografi, seni bina hinggalah ke rekaan kontemporari. 

Selain pameran yang sering bertukar mengikut musim, ILHAM juga menganjurkan pelbagai program menarik seperti lawatan berpandu, bengkel seni dan sesi bual santai bersama artis tempatan.

Suasana galeri yang moden dan tenang menjadikan ia lokasi yang sesuai untuk aktiviti solo, ‘artsy date’ atau kunjungan santai bersama keluarga.

Menariknya lagi, galeri ini bukan sekadar tempat untuk ‘melihat’ seni, tetapi tempat untuk ‘merasai’ dan ‘memahami’ bagaimana seni boleh menyuarakan isu masyarakat dengan penuh gaya dan ekspresi.

Kemasukan adalah percuma, jadi memang tiada alasan untuk tidak singgah okay!

12. Galeri Puteh

Alamat: L3-01, Level 3, KL Eco City Mall, 3, Jalan Bangsar, 59200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Tiket Masuk: Percuma

Satu lagi galeri di KL yang anda boleh kunjungi secara percuma ialah Galeri Puteh. 

Galeri ini sentiasa tampil dengan pameran baru dari masa ke semasa. Jadi, setiap kali anda datang, pasti ada sesuatu yang baru untuk diterokai.

Dengan rekaan ruang yang minimalis dan mesra pengunjung, anda akan mudah hanyut dalam ekspresi seni yang ditampilkan.

Jangan lupa ikuti Instagram rasmi Galeri Puteh untuk mengetahui info terkini tentang pameran, acara dan kolaborasi menarik yang sedang berlangsung.

About admin