Air asam jawa bukan sahaja dikenali sebagai ramuan masakan, malah ia turut digunakan dalam perubatan tradisional atau rawatan dari rumah.
Buah dengan nama saintifik Tamarindus indica ini digunakan secara tradisional untuk merawat beberapa jenis penyakit seperti cirit-birit, sembelit, demam dan malaria.
Sesetengah orang turut menggunakan kulit kayu dan daunnya untuk merawat luka.
Ayuh kita semak beberapa potensi khasiat yang dimiliki oleh asam jawa.

Kandungan Nutrisi
Secawan isi asam jawa (120 g) mengandungi beberapa mineral dan vitamin seperti :
- Serat
- Magnesium
- Kalium
- Zat besi
- Kalsium
- Fosforus
- Kuprum
- Vitamin B1
- Vitamin B2
- Vitamin B3
- Vitamin C
- Vitamin K
Potensi Khasiat Air Asam Jawa
Membaiki Kesihatan Jantung
Kaya dengan polifenol khususnya flavonoid, asam jawa didapati berpotensi untuk mengawal paras kolesterol dalam tubuh.
Dalam sebuah kajian terhadap tikus makmal, penggunaan ekstrak asam jawa didapati dapat menurunkan kadar kolesterol jahat dan trigliserida.

Meredakan Mata Kering
Ekstrak biji asam jawa yang digunakan dalam ubat titis mata dipercayai boleh membantu melegakan masalah mata kering.
Ia didapati berpotensi kerana bijinya mengandungi bahan kimia yang mirip dengan mucin iaitu sejenis pelindung semula jadi pada permukaan mata.
Melawaskan Sistem Pencernaan
Sesetengah orang turut mengamalkan asam jawa sekiranya mengalami masalah pencernaan seperti sembelit.
Ini disebabkan oleh sifat air asam jawa yang dikatakan mampu berfungsi sebagai julap ringan dan mampu melancarkan system penghadaman dan mengatasi sembelit.

Bersifat Antibakteria dan Antikulat
Buah asam jawa mengandungi kompaun semulajadi iaitu lupeol yang bertindak sebagai antibakteria.
Pada masa yang sama, ia juga memiliki sifat antikulat yang mungkin berguna dalam meningkatkan system pertahanan tubuh terhadap jangkitan ringan.
Cara Minum Air Asam Jawa
Air atau jus asam jawa boleh disediakan dengan mudah di rumah. Cara-caranya adalah seperti berikut :
- Ambil segenggam asam jawa (buang bijinya).
- Rendamkan asam jawa ke dalam air panas selama 10 ke 15 minit
- Kacau dan tapis air untuk asingkan serat dan bijinya
- Air boleh diminum sama ada secara suam atau sejuk. Anda juga boleh tambahkan madu atau gula melaka jika inginkan rasa yang lebih manis.
Kesimpulannya, air asam jawa yang dihasilkan dari rumah boleh diamalkan dalam jumlah yang sederhana.
Tambahan pula, ia berpotensi dalam meningkatkan kesihatan khususnya melancarkan sistem penghadaman dan membaiki kesihatan jantung.
Anda juga dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor terlebih dahulu sekiranya mengamalkan jus asam jawa kerana ia boleh memberi kesan terhadap pengambilan ubat tertentu seperti aspirin dan ubat kencing manis.
Sumber : WebMD, Healthline
Baca Juga : Labu Air : Nama Saintifik, Khasiat, Idea Masakan