invisible hit counter Palpitasi : Punca & Cara Hilangkan Degupan Jantung Laju – Jomer zing

Palpitasi : Punca & Cara Hilangkan Degupan Jantung Laju

Palpitasi atau Degupan Jantung Laju yang berlaku secara tiba-tiba merupakan satu situasi yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira usia dan jantina anda.

Ia merupakan satu keadaan di mana anda merasakan jantung anda berdegup dengan tidak normal, sama ada terlalu cepat, berdebar-debar, atau berdenyut kuat

Untuk mengetahui lebih lagi berkenaan hal ini, pastikan anda terus bersama kami sehingga ke penghujung artikel ini.

Apa itu Palpitasi? 

Palpitasi merujuk kepada keadaan di mana seseorang dapat merasakan degupan jantungnya dengan jelas, sama ada jantung berdegup terlalu laju, kuat, tidak teratur, atau berdebar-debar. Pada saat ini, degupan jantung akan menjadi sangat ketara sehingga boleh dirasai di dada, leher, atau bahkan di telinga

Untuk pengetahuan anda, degupan jantung laju ini bukanlah penyakit, tetapi ia adalah satu gejala yang boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor. Selalunya, degupan jantung laju ini berlaku tanpa sebab yang serius dan tidak berkaitan dengan masalah jantung.

 Namun, dalam sesetengah kes, gejala ini boleh menjadi tanda masalah jantung seperti aritmia (ketidakteraturan irama jantung), penyakit arteri koronari, kegagalan jantung, atau masalah otot dan injap jantung. 

Oleh itu, walaupun ia tidak mempunyai risiko yang tinggi, jika anda sering mengalaminya, anda sangat digalakkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan dan kepastian. 

palpitasi

Punca Degupan Jantung Laju

Palpitasi ini merupakan satu keadaan di mana degupan jantung anda berdegup laju melebihi 100 denyutan seminit, dan berikut merupakan punca-punca mengapa ia boleh berlaku:

  • Melakukan senaman berat atau aktiviti fizikal yang intensif
  • Pengambilan kafein, nikotin (rokok, cerut), dan alkohol secara berlebihan
  • Tekanan emosi, kebimbangan, ketakutan, panik, dan stres yang tidak dikawal
  • Dehidrasi yang menyebabkan darah menjadi pekat dan jantung bekerja lebih keras
  • Perubahan hormon seperti semasa kehamilan, haid, atau masalah tiroid (hipertiroidisme)
  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti beta-blocker, inhaler asma, dekongestan, dan suplemen herba
  • Penyakit jantung seperti aritmia (irama jantung tidak teratur), penyakit arteri koronari, kegagalan jantung, dan masalah injap jantung
  • Dadah terlarang seperti amphetamines dan kokain
  • Kehilangan darah, demam, dan tahap oksigen rendah dalam darah

Simptom Palpitasi

Tanda atau simptom palpitasi (degupan jantung laju atau berdebar) termasuk:

  • Rasa jantung berdebar-debar atau berdetak secara tidak teratur
  • Degupan jantung yang terasa terlalu cepat atau terlalu kuat
  • Sensasi denyutan jantung yang boleh dirasai di dada, leher, atau tekak

Simptom ini boleh berlaku sama ada ketika berehat atau aktif, dan dalam pelbagai posisi seperti berdiri, duduk, atau berbaring. 

Namun ditekankan di sini, jika palpitasi yang berlaku disertai dengan sakit dada, sesak nafas, pengsan, atau pening yang teruk, anda perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan anda.

Cara Menghentikan Degupan Jantung Laju

Berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menghentikan atau mengurangkan palpitasi:

  1. Latihan Pernafasan dan Teknik Relaksasi
    • Duduk atau baring dengan tenang.
    • Tarik nafas dalam-dalam melalui hidung, tahan selama beberapa saat, kemudian hembus perlahan melalui mulut.
    • Ulangi sehingga degupan jantung kembali normal.
    • Amalkan meditasi, yoga, atau tai chi untuk mengurangkan stres.
  2. Vagal Maneuver
    • Duduk dengan tegak dan tenang.
    • Rapatkan mulut dan tarik nafas dalam melalui hidung.
    • Tutup hidung dengan jari dan tahan nafas.
    • Tekan otot perut seperti sedang mengejan selama 10–15 saat.
    • Lepaskan nafas perlahan-lahan dan bernafas secara normal.
    • Tunggu sekurang-kurangnya 1 minit sebelum mengulangi jika perlu
  3. Minum Air Putih Secukupnya
    • Dehidrasi boleh menyebabkan jantung berdebar dengan lebih laju, jadi pastikan badan sentiasa terhidrat dengan minum jumlah air yang cukup.
  4. Kurangkan Dari Melakukan Perkara-Perkara yang Menyebabkan Palpitasi
    • Kurangkan atau hentikan pengambilan kafein, rokok, alkohol, dan dadah.
    • Kawal stres dan kebimbangan dengan baik.
    • Elakkan pemakan ubat atau suplemen tanpa nasihat doktor yang boleh merangsang degupan jantung pantas.
  5. Rawatan Perubatan
    • Dalam kes yang lebih serius atau berpanjangan, anda sangat digalakkan untuk mendapatkan rawatan dan ubatan yang bersesuaian di hospital atau klinik berdekatan anda.

Untuk mengetahui kadar denyutan jantung anda normal atau tidak anda boleh dapatkan pulse oximeter yang mempunyai pengesahan MDA

    Baca juga: Makanan Rawat Sembelit, Punca Berlaku & Langkah Pencegahan

    About admin